Sunday, July 27, 2008

Karangan tentang Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri adalah sebuah perayaan yang amat meriah untuk keluarga saya. Ia dapat mengeratkan tali persaudaraan dan pada setiap tahun, ramai yang mengenang tahun-tahun yang sudah berlalu dan mereka yang sudah meninggal dunia. Suasana amat sedih dan ramai yang berlinangan air mata, terutama sekali, mereka dari kaum hawa yang mudah tersentuh.

Bagi saya pula, apa yang memeriahkan suasana di hari raya adalah lagu-lagu klasik. Terdapat lagu-lagu yang sayu dan menyedihkan, seperti lagu Hari Raya Sanisah Huri dan “Satu Hari di Hari Raya” oleh M. Nasir amat menyedihkan tetapi lagu-lagu seperti Selamat Hari Raya oleh Saloma dan Seloka Hari Raya oleh Uji Rashid dan Hail Amir pula sering membawa kegembiraan.

Pada setiap petang hari raya, kami sekeluarga akan berkumpul di meja makan sambil menunggu azan. Ibu saya akan menyediakan pelbagai jenis makanan seperti rendang dan makanan-makanan tradisional yang lain. Kuih-muih juga disediakan. Apabila azan berkumandang, kami sekeluarga akan makan dan setelah itu, solat maghrib. Selepas solat, kami akan membaca takbir hari raya.

Dengan perasaan yang begitu ghairah sekali, saya dan adik saya akan menelefon nenek-nenek kami dan mengucapkan selamat hari raya kepada mereka dan setelah itu, mereka akan mendoakan kami berdua. Pada masa dahulu, bila saya di sekolah rendah, saya dan adik saya biasa bermain bunga api sementara ibu dan bapa saya menonton persembahan-persembahan hari raya di televisyen.

Kini pula, kami sekeluarga akan menonton televisyen dan menjamu selera bersama. Sering, kami akan tidur lewat. Kami suka filem-filem raya yang ditayangkan.

Pada pagi seterusnya, bapa saya dan saya akan bangun awal, mandi, solat subuh dan langsung bersedia untuk ke masjid untuk sembahyang hari raya. Kami sekeluarga sering ke Masjid Haji Mohamad Salleh di Palmer Road. Ia juga dikenali sebagai Makam Habib Noh. Kami solat di sana kerana keberkatannya. Kami sering ke masjid dengan pakaian tradisional.

Apabila kami pulang, ibu dan adik saya sudah bersedia dengan baju hari raya mereka. Kuih-muih juga telah disusun dan baju hari raya kami sudah disediakan. Kami pun menyalin pakaian dan akan bersalam-salaman. Setelah itu, Ibu dan bapa saya akan memberi saya dan adik saya duit hari raya. Oleh kerana Aidilfitri adalah sebuah hari yang begitu mulia, mereka yang berkemampuan akan bersedekah dengan memberi wang kepada kanak-kanak dan anggota keluarga serta sanak saudara.

Setelah itu, pada jam 11 pagi, kami sekeluarga akan terus ke rumah nenek sebelah ibu saya. Nenek saya telah pun membeli ketupat dan memasak lontong serta rendang. Kami sekeluarga memang gemar masakan nenek saya. Pada masa yang sama, adik-beradik ibu saya juga akan mengunjungi rumah nenek juga. Di sana, kami bersalam-salaman dan meminta maaf jikalau tersilap di dalam segi perbuatan ataupun perkataan.

Setelah berada di rumah nenek sebelah ibu saya untuk beberapa jam, kami sekeluarga pun mengunjungi rumah nenek sebelah bapa saya. Biasanya, nenek sebelah bapa saya akan memasak nasi briyani yang begitu wangi dan enak. Kami akan solat zohor di sana dan saya akan bermain-main dengan sepupu-sepupu saya ataupun berbual-bual dengan pakcik saya.

Hari Raya telah mengeratkan tali persaudaraan kami sekeluarga. Pada setiap tahun, kami akan bertemu dengan sanak-saudara. Ia adalah masa di mana saya amat gembira.

1 comment:

chenell_1996 said...

karangan tidak beraa mantap dan berkualiti..